Friday, August 3, 2012

Fakrul Muhaimin Bin Amran

"Ya, Allah! Min terlupa yang Min tinggalkan anak Min kat surau lepas sujud tadi." Wajah gusar Fakrul ketara kelihatan. Fakrul segera berlari meninggalkan keluarganya terpinga-pinga. "Along-along, dari dulu macam tu asyik tertinggal barang je." keluh Maimun sambil terkenang perangai anaknya itu. Dia masih teringat ketika Fakrul mula-mula menjejakkan kaki di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah tiba di Kuala Kangsar baru mereka perasan beg yang berisi pakaiannya tertinggal di rumah. Nasib baik seluar dalam dan beberapa pakaian kegemarannya di letakkan di beg sandangnya, manakala pakaian sekolahnya digantung di dalam kereta sewa pakcik Shahrul. Pakcik Shahrul menjadi insan yang paling popular di kampung kelahiran Shahrul. Kerana beliau sahaja yang mampu memiliki motokar ketika itu. Itupun milik syarikat Kim Seng yang menyewakan keretanya untuk dijadikan kereta sewa. Memang mustahil untuk orang-orang Melayu pada waktu itu memiliki kereta. Paling bergaya pun ketua kampung yang ke hulu ke hilir dengan vespanya. Vespa yang seringkali menjadi bahan mainan anak-anak kampung merupakan motor jenis skuter yang dikilangkan di Itali oleh syarikat Piaggio. Vespa sebenarnya di ambil sempena nama serangga seperti tebuan di sana.

"Dah marilah, apa yang awak tunggu lagi?" Soal Amran kepada Maimun. Maimun yang terleka mengenangkan perangai anaknya bangun dari kerusi yang disediakan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Jarang sekali untuk orang ramai dapat duduk di kerusi untuk tetamu kerana hospital sangat sibuk dan dipenuhi dengan pesakit. Maimun membetul-betulkan kainnya yang sudah renyuk dek kesan dudukannya tadi. Mereka berempat menuju ke wad 4B, wad yang dikhaskan untuk wanita-wanita yang ingin bersalin dan yang sudah bersalin. Wad yang sentiasa penuh kerana setiap hari sekurang-kurangnya 30 orang masuk ke dalam wad ini setiap hari. Dan selalunya bagi wanita yang melahirkan anak secara normal akan pulang di sebelah petang sekiranya bersalin pada waktu pagi. Ini adalah untuk menampung tempat pesakit-pesakit yang lain.

Setibanya Fakrul di Surau, dia mendapati anaknya di dukung oleh seorang misi. Tubuh jururawat itu bisa mengiurkan mana-mana lelaki yang memandangnya. Fakrul melihat tag nama yang terletak di paras dada jururawat itu. "Apa yang awak tengok?" sergah Qalesha. Nama yang agak pelik untuk di sebut ketika itu. Seingat Fakrul kawan-kawan sekampungnya mempunyai nama yang mudah seperti Mariam, Kadhijah, Aishah dan Fatimah. Selepas memasuki Kolej Melayu, dia jarang berkawan dengan perempuan sehingga bertemu dengan Zubaidah secara tidak sengaja di Masjid Jamek. Ketika itu Fakrul ingin membelikan tudung kepada ibunya di kampung. Zubaidah juga berkenan dengan tudung yang sama. Mereka bertelagah sedangkan masih banyak tudung yang sama jenis ada di kedai tersebut. Hasil perkenalan itu berkekalan sehingga mereka berjaya mendapatkan zuriat. "Anak yang awak dukung tu anak saya." balas Fakrul. "Owh awaklah bapa yang tak bertanggungjawab tu. Senang hati sahaja tinggalkan anak di atas tikar sejadah. "marah jururawat tersebut. "Maaf, saya terlalu gembira untuk menyampaikan berita kepada ibubapa saya." jawab Fakrul dengan nada bersalah. "Nasib baik saya yang terdengar tangisan bayi ni. Jika orang lain mungkin sudah bawa lari. Sebelum ni yang di dalam wad bayi pun ada yang diculik, inikan pula ditinggalkan bersendirian di dalam surau." Qalesha berceramah kepada Fakrul. Fakrul hanya mampu menundukkan kepalanya sahaja mendengar suara Qalesha yang manis itu.